SISTEM ADUAN RASUAH DAN TATAKELAKUAN (eSART)

eSART, Seksyen Intergriti, UKAS adalah saluran aduan untuk warga UKAS atau orang awam menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan pelanggaran tatakelakuan rasuah.eSART akan memproses, meneliti dan menilai semua aduan/maklumat yang diterima sebelum tindakan selanjutnya.

Sekiranya aduan/maklumat berunsur pelanggaran tatakelakuan akan diambil tindakan oleh Seksyen Integriti, UKAS. Sekiranya berunsur rasuah akan segera disalurkan kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.
a. Salah laku iaitu apa-apa perbuatan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 dan peraturan-peraturan lain yang berkuatkuasa;

b. Salahguna kuasa iaitu apa-apa ketidakpatuhan kepada arahan tetap ketua jabatan, pekeliling atau SOP atau salahguna harta kerajaan yang berkuatkuasa di bawah agensi; dan

c. Jenayah Rasuah iaitu termasuklah apa-apa kesalahan meminta, menawarkan atau menerima suapan rasuah, kesalahan tuntutan palsu, kesalahan salahguna jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan rasuah dan lain-lain kesalahan diletakkan di bawah Akta SPRM 2009.
   
BAGAIMANA ADUAN ATAU MAKLUMAT BOLEH DISALURKAN?
a. Salurkan kepada Seksyen Integriti, UKAS melalui saluran Portal Rasmi UKAS dan klik ke Sistem Aduan Rasuah dan Tatakelakuan (eSART)

b. Walau bagaimanapun, saluran aduan lain juga diterima iaitu :
 
  • Menghadirkan diri di pejabat Seksyen Integriti, Aras 4, Blok Podium, Unit Kerjasama Awam Swasta, Menara Usahawan, Presint 2, Persiaran Perdana, 62652 Putrajaya;

  • Menulis surat ke alamat di atas;

  • Menghubungi telefon nombor 03-8880 5909 / 03-8880 5815; dan

  • Emel : webintegriti.ukas@1govuc.gov.my
PANDUAN MEMBERI MAKLUMAT BERKUALITI
a. Sila pastikan aduan atau maklumat itu tidak terlalu umum untuk membolehkan Seksyen Integriti atau SPRM bertindak sewajarnya. Kumpulkan maklumat diperolehi dan sampaikan isi penting seperti:
 
  • Bila kejadian berlaku (When)

  • Dimana kesalahan dilakukan (Where)

  • Siapa yang terlibat dan yang boleh membantu (Who)

  • Apa kesalahan yang dilakukan (What)

  • Kenapa kesalahan dilakukan (Why)

  • Bagaimana transaksi rasuah atau pelanggaran tatakelakuan tersebut dilakukan sekiranya ada (How)
b. Sila sertakan nama dan maklumat perhubungan anda. Seksyen Integriti boleh menerima aduan atau maklumat daripada pemberi maklumat yang tidak dikenali, tetapi adalah lebih baik sekiranya kami dapat menghubungi semula anda bagi membantu kami bertindak dengan cepat dan lancar. Seksyen Integriti tidak dapat bertindak ke atas maklumat tidak lengkap atau terlalu umum dan tiada maklumat perhubungan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

c. Anda juga boleh mengetahui status aduan atau maklumat anda melalui eSART sekiranya anda menyertakan nama dan maklumat seperti emel atau nombor telefon mudah alih.

BAGAIMANA eSART BERFUNGSI
a. Aduan atau Maklumat akan melalui proses saringan bagi mengenalpasti:
 
  • Aduan atau maklumat yang berunsur rasuah atau tidak.

  • Aduan atau maklumat yang boleh diambil tindakan atau tidak.

  • Orang yang ditohmah boleh dikesan atau dikenalpasti atau tidak
b. Selepas proses saringan, aduan atau maklumat yang terpilih iaitu yang mencukupi berkaitan tatakelauan melibatkan salah laku dan salahguna kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 atau undang-undang atau peraturan berkuatkuasa diagensinya akan diambil tindakan oleh Seksyen Integriti UKAS.

c. Sekiranya maklumat itu mencukupi berkaitan jenayah rasuah akan dirujuk segera kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

PERLINDUNGAN KEPADA PEMBERI MAKLUMAT
a. Seksyen 65(1)(2), Akta SPRM 2009 memperuntukan perlindungan kepada pemberi maklumat dan kandungan maklumat tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang termasuk tidak boleh didedahkan atau diperintahkan supaya didedahkan dalam mana-mana prosiding mahkamah, tribunal atau pihak berkuasa lain.
   
b. Seksyen 7, 8 dan 9, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memperuntukkan seseorang pemberi maklumat yang telah mendedahkan perlakuan tidak wajar termasuk rasuah atau salahguna jawatan kepada SPRM atau penguatkuasa lain hendaklah diberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan dari tindakan sivil atau jenayah atau tindakan tatatertib dan perlindungan terhadap tindakan memudaratkan.

KEWAJIPAN ANDA MELAPOR RASUAH
a. JIKA ANDA PEGAWAI BADAN AWAM adalah menjadi kewajipan anda melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan rasuah oleh mana-mana orang. Anda bersalah jika tidak melaporkan sogokan rasuah. Jika disabitkan, anda boleh didenda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya – Sek. 25(1), Akta SPRM 2009.

b. JIKA ANDA ORANG AWAM adalah menjadi kewajipan melaporkan segera daripadanya suapan rasuah diminta atau diperoleh secepat mungkin. Anda bersalah jika tidak melaporkan segera suapan rasuah itu. Jika disabitkan anda boleh dihukum penjara tidak lebih 2 tahun atau denda tidak lebih RM10,000.00 atau kedua-duanya - Sek. 25(3) Akta SPRM 2009.
     
  “Hendaklah ada di kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah perbuatan mungkar dan merekalah orang yang beruntung” 

Surah Ali-Imran, Ayat 104




Seksyen Integriti, UKAS 
Tel : 03-8880 5909 / 5815 
Emel : webintegriti.ukas@1govuc.gov.my
 
© Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Kementerian Kewangan -